mUKa suRAt

Thursday, January 6

Tarbiyyah Ruhiyah - didikan jiwa hanya untuk Nya

Pengaruh Tarbiyah Ruhiyah

Tarbiyah ruhiyah akan melahirkan peribadi yang cekal, keimanan yang mantap, keyakinan yang utuh kepada Allah SWT dan kepergantungan yang membulat tanpa sebarang keraguan atas segala ketentuan-Nya.

Tarbiyah ruhiyah inilah yang melahirkan generasi didikan awal yang sangat luar biasa pengorbanan mereka, dan ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan keimanan yang tersemat kukuh di sanubari.

Tarbiyah inilah yang melahirkan para duat yang tabah dalam mengharungi rintangan serta ujian yang sentiasa bertaburan di atas jalan kebenaran dan kebaikan. Tarbiyah ini membuatkan mereka bagaikan dirasuk dengan keimanan sehingga sanggup melakukan apa sahaja, sehingga tindakan yang diluar batasan akal manusia untuk berjuang di atas jalan Allah SWT.

Tarbiyah ruhiyah yang kuat telah melahirkan peribadi kepimpinan seperti Sultan Muhammad Al-Fateh yang diiktiraf sebagai sebaik-baik pemimpin, yang berjaya memimpin tenteranya yang diangkat sebagai sebaik-baik tentera dan juga beliau telah memerintah rakyat yang dinyatakan sebaik sebaik-baik rakyat. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana hubungan mereka dipelihara sepanjang masa ketika dalam proses penawanan Kota Konstantinople.

Tarbiyah inilah yang melahirkan peribadi-peribadi seperti Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Abdul Kadir Audah, Sheikh Ahmad Yaseen, dan ramai lagi tokoh-tokoh gerakan kebangkitan Islam di abad ini. Kekuatan ruhaniyah, menyebabkan setiap butiran kata-kata mereka meresap mendalam ke dalam jiwa para pejuang Islam dan membangkitkan syuur (semangat) mereka untuk sentiasa tetap dalam memperjuangan al-Haq.

Tarbiyah ini akan melahirkan jiwa-jiwa yang ikhlas, jujur dan sanggup berkorban kerana Allah SWT. Tiada mengharapkan ganjaran dunia dan setiap kukuh tetap dalam kesabaran. Jiwa yang dipenuhi dengan kecekalan, keyakinan, ketabahan dan keimanan kepada-Nya akan membawa kepada pertolongan dan bantuan Allah SWT. Inilah rahsia zaman berzaman, kejayaan umat Islam.

Usaha – itu harus diteruskan

Marilah sama-sama, kita lakukan penyerahan jiwa sepenuh untuk dididik dengan didikan Islam. Dan rendahkanlah serta bukalah hati untuk disentuh dengan sentuhan keimanan kepada Allah SWT.

Usah kita biarkan hati ini kaku, keras, dan tidak bermaya.

Kita berazam, dan bertekad untuk bebaskan diri daripada belenggu nafsu yang menipu
Bebaskan diri daripada cara hidup yang lalai dan jauh daripada Allah SWT.

Ayuh lakukan sesuatu agar ia terus segar, hidup dan mampu respon dengan kebaikan dan ajakan kepada kebenaran.

Dan – ia boleh dimulakan dengan Tarbiyah Ruhiyah ini. InsyaAllah

broHamzah~~

0 kata - kata: